Kisahnya dulu selepas Kak Ummu kembali dari permusafirannya yang pertama di Turki, dia memperkenalkan kepadaku teh dan pide daging (pizza lonjong) di restauran Sultan Kitchen di UTM. Pide adalah adunan tepung yang agak tebal. di atasnya ada kombinasi antara daging, cendawan, telur, cheese dan lain-lain. Hampir menyerupai pizza tetapi dihidangkan bersama keju dan cheese yang diparut. Kali ini pula kami mencuba cheese pide usai berpuas hati tawar-menawar dengan adik si penjual sim card itu. Kami berdua minum 3 cawan çay (teh) yang menjadi momokan para pelancong yang singgah ke sini. Suasana petang bersama teh ini memang ingin sekali aku adakan bersama sahabat. Menjawab benarkah apa yang dirasakan perbezaan minum teh di Malaysia. Teh Turki ini berbeza dari yang lain, dari segi originalitinya dan cara hidanganya.

Teh adalah majoriti minuman yang dihidangkan ketika sarapan, selepas atau di antara hidangan, dalam perjumpaan sosial atau perjumpaan formal. Kebiasaannya teh dihidangkan dalam gelas traditional yang berbentuk bunga tulip. Aku juga kagum akan cara penyediaannya. Di mana satu cerek kecil di letakkan di atas satu cerek yang lebih besar. Mulanya cerek besar akan dididihkan air kosong  padanya,  usai didih, sebahagiannya akan dituang ke dalam cerek kecil bersama daun teh Turki. Kemudian air mentah ditambah lagi menghampiri penuhnya ruang cerek. Kemudiannya dididihkan lagi bersama cerek kecil di atasnya. Beberapa minit kemudian, setulip teh boleh dihidangkan dengan menuangkan ibu teh dari cerek kecil dan air kosong dari cerek besar. Sudu kecil bersama serbuk gula atau ketulan kiub gula disediakan. Sepanjang sesi minum itu, kedua-dua cerek sentiasa dipanaskan, supaya mudah untuk melakukan hidangan secara berulang-ulang. Aku masih dalam mimpi…