Latest Entries »

Tertusuk-tusuk hatiku mendengar untaian-untaian kalimah doanya dengan jiwa. Kerendahan hatinya begitu jelas tampak pada kalimahnya. Kak Ummu mengetuai doa selepas mendirikan solat berjemaah. Tersedu-sedu aku dalam sesenyap yang mungkin. Ya Allah betapaku bersyukur, Kau hadirkan teman sejati di sisiku, buat menemani pengembaraan rohaniku ini.  Masjid Biru inilah, tempat pertama yang amat ingin sekali aku ziarahi bila tiba di bumi Uthmaniah ini. Hari kedua pengembaraan ini, aku mencapai cita si anak kampung.  Dulu pertama kalinya Kak Ummu hadir ke sini, aku kirimkan doa dan bisikan namaku di masjid ini. Agar aku dapat bertandang ke sini, bukan sendirian tapi bersama dengannya. Doa Kak Ummu itu makbul kini. Ini anugerah dariNya.

SubhanaAllah masjid ini sangat indah, mendalam rasanya rohani yang tersurat kemas. Kata Kak Ummu,  kali pertama pengembaraannya ke sini, rasa rohani itu kurang mendampinginya. Moga kali ini, ia hadir subur hingga akhir waktu nikmatnya. Aku memisahkan diri sebentar melihat-lihat keindahan masjid ini, lalu aku duduk di ruang hafalan. Ruang empat segi yang punya tingkap setinggi pintunya, terletak di setiap dinding hadapan masjid, ruang para hafiz bersendirian meluangkan masa bagi menghafal Al Quran dalam gemilangnya Islam dahulu. Aku berpuisi sebentar di situ, seusai mengaji beberapa ayat dari Surat CintaNya.  Sambil juga aku menunggu azan Maghrib menggema Istanbul yang kira-kira menghampiri jam 9 malam. Dia pula asyik melayani beberapa warga Turki yang tertarik dengan kedatangannya ke bumi mereka. Aku tidak mahu menggangu kemanisannya. Moga Allah membalas segala kebaikanmu padaku malah lebih dari itu jumlahnya. Terima kasih Kak Ummu.

Turki 6: Setulip Teh

Kisahnya dulu selepas Kak Ummu kembali dari permusafirannya yang pertama di Turki, dia memperkenalkan kepadaku teh dan pide daging (pizza lonjong) di restauran Sultan Kitchen di UTM. Pide adalah adunan tepung yang agak tebal. di atasnya ada kombinasi antara daging, cendawan, telur, cheese dan lain-lain. Hampir menyerupai pizza tetapi dihidangkan bersama keju dan cheese yang diparut. Kali ini pula kami mencuba cheese pide usai berpuas hati tawar-menawar dengan adik si penjual sim card itu. Kami berdua minum 3 cawan çay (teh) yang menjadi momokan para pelancong yang singgah ke sini. Suasana petang bersama teh ini memang ingin sekali aku adakan bersama sahabat. Menjawab benarkah apa yang dirasakan perbezaan minum teh di Malaysia. Teh Turki ini berbeza dari yang lain, dari segi originalitinya dan cara hidanganya.

Teh adalah majoriti minuman yang dihidangkan ketika sarapan, selepas atau di antara hidangan, dalam perjumpaan sosial atau perjumpaan formal. Kebiasaannya teh dihidangkan dalam gelas traditional yang berbentuk bunga tulip. Aku juga kagum akan cara penyediaannya. Di mana satu cerek kecil di letakkan di atas satu cerek yang lebih besar. Mulanya cerek besar akan dididihkan air kosong  padanya,  usai didih, sebahagiannya akan dituang ke dalam cerek kecil bersama daun teh Turki. Kemudian air mentah ditambah lagi menghampiri penuhnya ruang cerek. Kemudiannya dididihkan lagi bersama cerek kecil di atasnya. Beberapa minit kemudian, setulip teh boleh dihidangkan dengan menuangkan ibu teh dari cerek kecil dan air kosong dari cerek besar. Sudu kecil bersama serbuk gula atau ketulan kiub gula disediakan. Sepanjang sesi minum itu, kedua-dua cerek sentiasa dipanaskan, supaya mudah untuk melakukan hidangan secara berulang-ulang. Aku masih dalam mimpi…